Di manakah kerehatan?
Sentiasa mencari diri
Pencarian yang melawan arus dunia
Hairan, semakin dicari semakin kosong
Permainan apakah ini?
Pencarian yang membingungkan
Jawapan hanya menimbulkan lebih banyak persoalan
Ya, jawapan itu ada
Tapi suaikah jawapan itu untuk aku?
Timbul tenggelam dalam realiti dan pencarian
Antara hilang dan ada bila meneropong ke tempat itu
Hairan, apa yang aku cari?
Hairan, kerana aku tahu apa yang sepatutnya aku cari?
Di manakah kerehatan?
Dari sentiasa meragui diri
Di manakah kerehatan dari berat belenggu kekurangan ini?
Yang menimpa lagikan menimpa
Yang menimpa tak sudah menimpa
Aku kuat! Tak siapakah sedar?
Aku lemah! Tak siapakah sedar?
Bila akan aku buka mata bahawa semua ini adalah plot dan ujian
Suatu kisah yang saripatinya telah ditenun indah
Hanya menanti dipamer kepada yang bermata dan mampu melihat, yang bertelinga dan mampu mendengar, yang berhati dan mampu memikirkan
Kisah yang mampu dinikmati hanya dengan itu
Itu?
Itu, yang mengisi setiap ruang dan pora jasad tanah ini
Hairan, apa ini?
Bagaimana kekacauan mampu mengilhamkan ketenangan
Lari, ingin lari ke mana?
Jawapannya di mana?
Jawapannya di mana-mana.
Hanya menanti untuk dirasa.
Tapi, itulah. Bukan semua dipilih untuk merasa.
Aku? Aku tak tahu. Yang pasti aku masih mencari. Mencari ketenangan itu. Mencari keyakinan itu. Mencari
dakapan untuk tempat pulang dan perisai untuk pembelaan.
No comments:
Post a Comment